Rabu, 18 Februari 2009

Mahkota Cinta...


"Dan antara manusia, ada yang mengambil selain Allah menjadi tandingan-tandinganNya, yang mereka cintai (tandingan-tandingan tersebut) sebagaimana mereka mencintai Allah. Ada pun orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah sangat keras seksaanNya (nescaya mereka menyesal)". – [Al-Baqarah, 2: 165].
Tatkala kita menyebutkan kalimah syahadah, LAAILAAHAILLALLAH, kita harus ingat bahawa perjanjian untuk mentauhidkan Allah itu bukanlah sekadar pengesaan dari segi ibadah khusus sahaja(misalnya solat, puasa, zakat dll).Dengan kata lain, apabila kita mengucapkan syahadah, tidak hanya bererti kita harus solat hanya kepada Allah sahaja dan bukannya solat kepada tuhan-tuhan lain, kerana pengertian syahadah lebih daripada itu.Ini kerana dalam ayat di atas, Allah telah memberikan satu syarat lain yang harus dipenuhi oleh mereka yang beriman kepadaNya. Itulah dalam persoalan CINTA. Allah mengatakan bahawa ORANG YANG BERIMAN sangat cinta kepadaNya. Sedangkan ORANG YANG KAFIR sangat mencintai tandingan-tandingan yang mereka adakan selain Allah.Kalimah ZALIM sangat luas maksudnya. Orang yang merokok dikatakan menzalimi diri sendiri. Orang yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas dikatakan zalim terhadap orang lain. Ada pun ZALIM pada ayat ini bermaksud KAFIR kerana beberapa alasan. Alasan yang pertama, golongan yang dijadikan perbandingan dengan golongan beriman adalah golongan yang mengambil tandingan lain selain Allah. Alasan yang kedua, KAFIR juga merupakan sebahagian daripada perbuatan ZALIM berdasarkan ayat 254 surah Al-Baqarah, "… Dan orang yang kafir itulah orang yang zalim." Alasan ketiga, Imam Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat di atas, mengarahkan perbahasannya kepada kesyirikan. Wallahu a'lam.
Namun begitu, jarang kita sedar bahawa kadang-kadang kita termasuk dalam golongan
yang zalim ini. Tatkala kita melihat kakak dan adik perempuan kita berhias melebihi batasan yang digarikan oleh syara'(seperti memakai wangi-wangian ketika ingin keluar
rumah, memakai pakaian yang agak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh, dll), kadang-kadang terlintas di fikiran kita untuk menegur mereka. Akan tetapi, kerana bimbang teguran itu mungkin akan mengguris hati mereka, kita lantas mengambil langkah mendiamkan diri, dan membiarkan mereka terus berada dalam keadaan tersebut.
Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya.Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lisannya. Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan qalbunya. Dan demikian itulah yang selemah-lemah iman." – [HR Muslim dan Ahmad daripada Abu Sa'id Al-Khudri]. Sekiranya benar kita mengambil sikap berdiam diri terhadap perkara-perkara tersebut,di manakah tingkatan iman kita?
seorang ayah terlalu sibuk melayani gelagat sang anak yang lincah bermain dengan mainannya. Setelah seharian bekerja di pejabat, akhirnya kepulangannya disambut dengan mesra oleh anak dan isterinya. Hal ini membuatkannya lupa akan segala masalah di pejabat.Lupa akan segala kelelahan dan keletihan. juga lupa akan kewajipan solat asar yang belum ditunaikannya.Ingatlah firman Allah: "Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya dari kalangan isteri-isteri dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu,maka berhati-hatilah terhadap mereka. Dan sekiranya kamu memaafkan mereka, dan santuni mereka serta mengampuni mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Sesungguhnya harta-harta dan anak-anakmu adalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar." [At-Taghabun, 64: 14-15].
Di penjuru bumi yang lain,kelihatan seorang mahasiswa sedang tekun mengulangkaji.Langsung tidak dihiraukan bunyi muzik yang kedengaran dari bilik temannya, bunyi kenderaan yang lalu-lalang, dan tidak ketinggalan bunyi azan Asar dikumandangkan.Seolah-olah jiwanya itu tidak terusik dengan panggilan suci,"Hayya 'ala ash-shalah! Hayya 'ala al-falah…" Begitu khusyu' dirinya berusaha untuk memahami topik yang dipelajarinya di kelas di waktu paginya, namun tidak pula dia terfikir untuk menyahut seruan ke arah kejayaan yang hakiki. Apalah guna kita menggapai kejayaan di dunia ini kalau kita terpaksa melepaskan kejayaan di akhirat kelak.
Ingatlah, bahawa dalam Shahih Muslim, diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki buta datang kepada Nabi dan dia berkata, "Ya Rasulullah!Aku tidak mempunyai sesiapa untuk menuntunku ke masjid."Lelaki tersebut kemudiannya meminta izin daripada Rasulullah untuk solat di rumahnya.Rasulullah mengizinkannya.Kemudian, setelah lelaki itu berpaling, Rasulullah memanggilnya dan bertanya,"Adakah engkau mendengar azan?" Lelaki buta tersebutmenjawab, "Ya!" Maka Rasulullah bersabda, "Hendaklah engkau menjawab panggilan itu." – [HR Muslim]. Lihatlah betapa Rasulullah menjaga disiplin para sahabat dalam melaksanakan solat secara berjema'ah. Sehinggakan seorang lelaki buta yang tiada pembantu yang bisa menuntunnya ke masjid pun disuruh untuk menunaikan solat di masjid. Bagaimana pula dengan mahasiswa tadi, yang terlalu mengejar dunia, sehingga mengabaikan disiplin yang telah digariskan oleh Rasulullah sendiri?Adakah anda termasuk dalam golongan ini?
CINTA orang yang beriman kepada ALLAH akan melebihi segala-galanya.Nabiyullah Ibrahim A.S pernah diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya, iaitu Ismail A.S. Namun, kasih sayang terhadap anaknya itu tidak menyebabkan Ibrahim mengingkari perintah Allah. Hal ini dikisahkan oleh Allah Ta'ala dalam surah Ash-Shaffat (surah 37),ayat 101-107. Begitu juga kisah Ibrahim yang terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya (Hajar dan Ismail) di suatu kawasan yang tidak berpenghuni. Allah S.W.T menceritakan kisah ini dalam surah Ibrahim (surah 14), ayat 37: "(Ibrahim berkata), Ya Tuhan kami!Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman berhampiran rumah Engkau (Baitullah) yang
dihormati…"
Dalam Shahih Al-Bukhari,diceritakan bahawa ketika Ibrahim ingin meninggalkan isterinya beserta anaknya itu, Hajar sempat mempersoalkan perbuatan Ibrahim. Beberapa kali sang isteri mengulangi pertanyaan yang sama setelah melihat suaminya hanya diam membatu. Akhirnya, Hajar bertanya,"Allah-kah yang memerintahkan engkau
melakukan hal ini (yakni meninggalkan aku dan Ismail di
lembah yang tidak berpenghuni)?"Jawab Ibrahim, "Ya!"Mendengarkan jawapan itu, Hajar
merelakan pemergian suaminya meninggalkan diri dan anaknya.Betapa tingginya keimanan sang suami menurut perintah Yang Maha Kuasa, dan betapa taatnya sang isteri apabila mendengar bahawa perintah itu datangnya daripada Yang Maha Bijaksana. Ternyata, kasih sayang yang terjalin antara mereka tidak menimbulkan sebarang bentuk keingkaran dalam hati mereka terhadap perintah-perintah Allah.Lihat pula kisah Nabi Nuh A.S sebagaimana yang dikisahkan dalam surah Hud (surah 11) ayat 40-48. Ketika banjir mula menenggelamkan bumi sedikit demi sedikit, Nuh yang ketika itu berada di atas kapalnya,memanggil-manggil anak lelakinya supaya menaiki kapal tersebut.Namun anaknya dengan sombong berkata, "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada banjir ini." (sila rujuk ayat 43). Namun ternyata,anaknya itu termasuk dalam golongan yang dibinasakan bersama orang-orang kafir. Nuh A.S lalu berkata, "Ya Tuhanku! Sesungguhnya anakku termasuk keluargaku…" Allah lantas menjawab, "Wahai Nuh! Sesungguhnya dia tidaklah termasuk dalam keluargamu,kerana perbuatannya sungguh tidak baik. Kerana itu janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak ketahui(hakikatnya). Sesungguhnya Aku
menasihati engkau supaya tidak menjadi orang yang jahil." Mendengarkan jawapan daripada Allah, Nuh akhirnya redha. Seorang ayah yang pada awalnya sedih dengan kematian anaknya, sanggup melupakan cintanya terhadap anak itu apabila mengetahui
bahawa kekafiran anaknya itulah yang menjadi pemisah antara mereka berdua.
Contoh terakhir yang ingin saya ketengahkan adalah dua ayat daripada surah At-Tahrim (surah 66). Allah berfirman, "Allah telah membuat perumpamaan bagi orang kafir, isteri Nuh dan isteri Luth. Kedua-duanya berada di bawah pengawasan dua orang
hamba yang salih daripada hamba-hamba Kami, namun kedua-duanya (isteri)
mengkhianati suami mereka masing-masing. Maka kedua-dua suami itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun daripada (seksa) Allah. Dan dikatakan (kepada kedua-dua isteri itu),'Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang
masuk (neraka).'Dan Allah telah membuat perumpamaan bagi orang yang beriman, isteri Fir'aun,ketika dia berkata, 'Ya Tuhanku!Dirikanlah untukku sebuah rumah di syurga dan selamatkanlah aku daripada Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim." – [At-Tahrim, 66: 10-11].
Lihatlah kedua-dua contoh yang Allah berikan. Sekali lagi kita dapat lihat bahawa kekafiranlah yang menjadi pemisah antara mereka semua. Kasih sayang yang terjalin antara ketiga-tiga pasangan suami isteri ini langsung tidak menjerumuskan mereka yang beriman (iaitu Nabi Nuh dan Nabi Luth A.S, dan isteri Fir'aun yang bernama Asiah) ke dalam kekafiran, malah mereka inilah antara orang yang dijamin tempatnya di syurga oleh Allah Ta'ala.Ini adalah sebahagian daripada contoh sebagai bukti bahawa CINTA orang yang beriman terhadap Allah jauh melebihi cinta mereka terhadap selain daripadaNya. Dan tatkala ada sesuatu hal yang boleh menjerumuskan mereka kepada kemungkaran Allah, mereka mampu menjaga diri mereka. Itulah ciri orang yang beriman,meletakkan keutamaan yang cukup tinggi dalam persoalan mencintai allah.Oleh itu,jadikanlah CINTA anda kepada ALLAH sebagai cinta yang paling utama.Tidak salah mencintai ibu bapa, adik-beradik, suami-isteri,harta benda, tanah kelahiran dan sebagainya,asalkan tidak membiarkan CINTA terhadap hal-hal ini menjadi penghalang CINTA anda kepada ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan